Content on this page requires a newer version of Adobe Flash Player.

Get Adobe Flash player

"Pilihan Anda: Gaya Hidup, bukannya Diet!"
Artikel ditulis oleh Puan Siti Norlela Bt Alwi, Pakar Pemakanan dan Pegawai Pendidikan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia

R
amadhan akan berakhir tidak lagi, bagi umat Islam yang sedang berpuasa, ramai yang merasakan perut mereka semakin kempis and badan juga terasa lebih ringan. Di Malaysia yang berbilang bangsa, tidak kurang juga rakan sepejabat bukan beragama Islam turut berpuasa bersama kerana menghormati rakan muslim sepejabat yang berpuasa di bulan Ramadhan ini. Semangat ‘1 Malaysia’ inilah yang paling kita kagumi!

Namun, ramai yang memilih untuk berpuasa bagi tempoh yang lebih lama kerana mereka seolah-olah menjadikannya sebagai trend bagi melangsingkan badan! Dalam erti kata lain, ‘diet’ adalah antara amalan gaya hidup yang tidak asing bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan!

Lazimnya, diet membuat kita kelaparan. Apabila anda berusaha untuk mengurangkan berat badan, halangan yang terutama ketika berdiet adalah kita kerapa berasa lapar; ramai yang kecundang akibat kurang daya juang.

Mengurangkan pengambilan makanan atau ‘berdiet’ bukanlah cara yang terbaik bagi mengurangkan berat badan; kita seharusnya amalkan pengambilan makanan yang bijak yang terancang! Yang pentingnya, kita harus memilih jenis makanan yang membantu kita kurang merasa lapar.

Kita ‘makan demi hidup’ atau ‘hidup demi makan’? Ungkapan yang popular ini seringkali mempengaruhi gaya hidup dan pilihan corak pemakanan kita.

Apabila anda merancang hidangan, pilih makanan  yang kurang kalori dan mampu membuat anda berasa puas dan kenyang lebih lama. Terdapat tiga jenis makanan utama yang anda harus ingat:
  • Protein yang rendah lemak
  • Makanan yang tinggi serat & rendah kalori
  • Makanan yang mempunyai kandungan air yang tinggi

Pemikiran bahawa hanya nasi mampu mengenyangkan perut seharusnya disingkirkan sama sekali. Kita mempunyai banyak pilihan dan alternatif sekiranya kita sanggup mencuba menerokai jenis makanan yang tinggi kandungan seratnya and berkalori rendah pada masa yang sama.

Kita boleh mencuba pelbagai jenis sandwic roti bijiran gandum (grain sandwich), mee, pasta dan sebagainya bagi pengambilan makanan yang lebih bijak. Tidak semestinya nasi dan lauk pauk yang mengenyangkan. Sebagai contoh, apabila anda memasak stew dan hidangan kasserol, anda boleh meningkatkan kandungan serat dengan menambah kekacang. Secara tradisinya, kita menggunakan kentang dan lobak merah dalam sup, apa kata kita cuba pula memasukkan sayur-sayuran seperti batang saderi (celery), sayur leek, bawang besar dan tomato sebagai resipi yang diperbaharui – lebih berkhasiat dan enak!

Makanan yang mengandung lemak tinggi sebenarnya mengurangkan perasaan kenyang, anda mungkin merasa lapar dalam masa yang singkat sejurus itu. Berlainan dengan protin, yang mampu membuat anda berasa kenyang untuk tempoh yang lebih lama. Kita boleh memilih sumber protin tanpa lemak seperti ayam tanpa kulit, ikan, kekacang dan produk tenusu rendah lemak ketika merancang menu dan pengambilam makanan.

Mengubah suai resipi anda sendiri dengan mengurangkan kandungan lemak dan gula adalah satu tindakan bijak. Menggantikan santan dengan  susu rendah lemak, menggunakan minyak tidak tepu atau marjerin   untuk susu penuh krim dan mentega misalnya.

Buah-buahan, sayur-sayuran, roti bijirin gandum, bijirin sarapan pagi dan kacang yang semuanya tinggi dalam serat. Makanan ini semua mampu mengenyangkan anda dalam tempoh yang lebih lama. Lebih baik sekiranya buah-buahan & sayur-sayuran dimakan secara mentah bertujuan mengekalkan nilai khasiat semulajadi.

Makanan yang mempunyai kandungan air yang tinggi seperti sayur-sayuran & buah-buahan adalah rendah kalori. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa orang-orang yang mengambil makanan ringan dengan kandungan air yang tinggi, seperti sup berupaya mengekalkan perasaan kenyang lebih lama lagi. Amalan berhenti makan sebelum kenyang sering  menjadi amalan mereka yang kekal sihat sehingga ke lewat usia.

Bijak dalam memilih makanan adalah tidak sukar. Kesedaran perlu wujud  ketika memilih makanan yang anda tahu memanfaatkan  kesihatan anda dalam banyak cara.  Tidak lupa juga kaedah memasak yang boleh meningkatkan kalori. Gril, membakar, merebus atau stim adalah pilihan yang lebih bijak daripada menggoreng. Jangan tambah lemak ketika memasak. Buang lapisan yang terbentuk daripada stew atau kaserol selepas dibiarkan semalaman di dalam peti sejuk.

Bijak dalam segala hal. Gaya hidup yang positif adalah merupakan pemikiran terbuka untuk menyesuaikan diri kepada sesuatu baru yang dapat menafaatkan kita.  ‘Alah bisa tegal biasa’ - ia semua terpulang kepada anda untuk membuat perubahan!!

Site Meter
Copyright © 2012  NKF Malaysia 
Web Design by UNIWEB